AL-QURAN DAN PEMBELAJARAN DI MASJID TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

>> Selasa, 2 Mac 2010

Pendahuluan

Hampir seribu tahun yang lampau, Ibn Khaldun melalui kitabnya “Muqaddimah” menyatakan dalam fasal ketiga daripada bab VI “Semakin banyak ilmu semakin maju pembangunan dan hadharah”. Dalam fasal tersebut beliau menyatakan kota-kota Baghdad, Cordova, Qayrawan, Basrah, Kufah tatkala bandar-bandar ini maju pembangunannya maka pemgajaran dan pembelajaran ilmu semakin meluas. Tetapi apabila bandar-bandar itu mudur ke belakang maka aktiviti keilmuan semakin berkurangan. Justeru itu pada zaman Ibn Khaldun, ilmu semakin berkurangan di kota-kota di atas kerana ia sudah semakin mundur. Semakin ilmu semakin berkembang pula ke kota Kaherah kerana kemajuan Kaherah mengatasi kemajuan bandar-bandar yang disebut di atas, sehingga Kaherah menjadi tumpuan para pencinta ilmu dari Iraq dan Morocco.

Demikian gambaran ringkas, betapa aktiviti keilmuan menjadi pemangkin kepada kemajuan sebuah bangsa dan umat itu. Di Malaysia juga jika dibuat perbandingan pada zaman sebelum kemerdekaan dan selepas 40 tahun negara mencapai kemerdekaan bagaimana terlihat perbezaan dengan jelas dalam aktiviti keilmuan tahun lima puluhan dan enam puluhan dengan tahun 2006 amatlah jauh sekali. Dari masyarakat yang dulunya ramai penduduk yang buta huruf, buta teknologi, malah buta agama, pada hari ini ia bertukar menjadi masyarakat yang lebih celik huruf, celik sains dan teknologi, malah celik agama. Pada masa kini Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang cukup membangun sehingga menjadi tumpuan banyak penduduk-penduduk negara dunia ketiga termasuk pelajar-pelajar Arab yang datang ke sini untuk belajar bukan sahaja dalam fakulti kejuruteraan, malah mengenai ilmu Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) hatta dalam bidang pembelajaran Usuluddin, Syariah, Pendidikan Islam pada peringkat penyelidikan kesarjanaan dan kedoktoran falsafah.

Seruan Islam Kepada Pembelajaran

Kitab Ihya Ulum al-Din karangan terbesar imam al-Ghazali terdapat di dalamnya mengandungi satu bab mengenai ilmu di mana terkandung di dalamnya beberapa fasal mengenai kelebihan ilmu, kelebihan mengajar dan kelebihan belajar. Kelebihan ilmu digambarkan oleh beliau melalui kelebihan orang-orang yang berilmu berbanding dengan mereka yang tidak berilmu, malah dinyatakan orang berilmu itu lebih merasa bimbang dan takut kepada Allah berbanding dengan mereka yang kurang berilmu.

Adapun kelebihan belajar disebutkan banyak hadis-hadis termasuk hadis daripada riwayat Muslim yang bermaksud: “Barang siapa menuntut ilmu beerti menuntut jalan ke syurga”.

Bagi orang Islam syurga adalah ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendaki. Maka mereka yang belajar ilmu sebelum pun mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti, di dunia lagi sudah dijanjikan dengan janji “Sentiasa mendapat perlindungan sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan”.

Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.

Walaupun dari segi sanadnya hadis-hadis ini dikatakan daif, tetapi teks hadis atau matannya memberikan dorongan supaya orang belajar ke mana-mana sahaja, hatta ke negeri China. Hadis ini tetap masyhur. Orang Islam dituntut belajar, malah ia merupakan satu fardu dan kewajipan “Talabul ‘ilmi farihatun ‘ala kulli muslim”.

Justeru itu dinyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan ilmu sama ada penyoal (murid), guru, pendengar dan mereka yang cintakan ilmu dan ahli ilmu akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t. Masing-masing pihak akan terus mendapat kebaikan dan oleh itu mereka yang jahil tidak harus berkekalan dalam kejahilan dan mereka yang tahu tidak harus kedekut dengan sedikit sebanyak ilmu yang ada pada mereka untuk disampaikan.

Hadis nabi sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa belajar ilmu itu wajib berterusan dari buaian sampai ke liang lahad. Abu Zar meriwayatkan “menghadiri majlis ilmu seorang alim lebih baik daripada bersembahyang (sunat) seribu rakaat, menziarahi seribu orang pesakit, dan menghadiri pengkebumian seribu jenazah” Malah ditanyakan kepada nabi “hatta lebih baik daripada membaca al-Quran”?. Lalu nabi menjawab “apa faedahnya membaca al-Quran jika tidak berilmu”.

Dari keterangan Imam al-Ghazali ini ternyata bahawa pembelajaran ilmu satu aktiviti sepanjang hayat atau pembelajaran berterusan tanpa henti dan tidak terikat oleh usia dan umur. Ibn Khaldun ketika membahaskan pembahagian ilmu membahagikan ilmu itu kepada dua: ilmu naqli dan ilmu aqli. Ilmu naqli merujuk kepada ilmu yang datangnya dari syarak sama ada dari al-Quran mahupun al-sunah. Sementara ilmu aqli pula ialah ilmu yang dijana oleh pemikiran manusia sehingga dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Dalam istilah biasa ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Dalam bahasa baru diperkenalkan pula ialah istilah ilmu pertama sebagai ilmu menyusun diri sendiri dan keduanya ilmu menyusun sistem masyarakat. Apa pun istilah yang dipakai ilmu itu terlalu banyak untuk dipelajari, lantas imam al-Ghazali sekali lagi mengingatkan kita pandai-pandailah orang ramai mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan jangan habiskan masa dengan ilmu yang tidak bermanfaat. Imam al-Ghazali memperkenalkan ilmu berfaedah sebagai ilmu terpuji (mahmudah) dan ilmu terkeji dikenali dengan mazmumah.

Keutamaan Ilmu Berbanding Dengan Amalan

Ulama semasa tersohor Dr Yusof al-Qaradhawi mengingatkan kita melalui bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat bahawa ilmu hendaklah didahulukan daripada beramal. Ini bersandarkan maksud sabda nabi: “Ilmu itu imam, amalan itu pengikutnya”. Justeru ilmu menjadi syarat bagi amalan yang sah dan perkataan yang betul. Imam Bukhari menyatakan amalan tidak akan memberi manfaat apa-apa tanpa ilmu. Malah nabi sendiri mengatakan dalam satu maksud sabdanya barangsiapa yang akan diberikan kebaikan oleh Allah, nescaya diberikan kepadanya kefahaman mendalam dalam agama”. (Man yurudi Llahu bihi khyran yufaqqihu fi al-Din).

Dalil paling kuat tentang kelebihan ilmu apabila perkataan “iqra’” merupakan ayat pertama yang diturunkan. Sedangkan membaca adalah anak kunci kepada ilmu. Kemudian barulah turun ayat kedua yang mengajak supaya beramal dan bertindak melalui surah al-Muddathir “Wahai orang yang berselimut, bangunlah! Dan beri khabar (amaran)…Ya ayyuha al-muddathir, qum fa andhir, wa rabbaka fakabbir, wa thiyabaka fa tahhir wa al-rujza fahjur, wala tamnun tathtakthrt”.

Melalui ilmu manusia dapat membezakan antara haq dengan batil dalam akidah, melalui ilmu dikenali mana yang sunah dan mana yang bidaah dalam ibadah, dapat dibezakan mana yang soheh dan mana yang fasad dalam muamalat. Ilmu juga memberitahu mana yang halal dan mana yang haram. Malah mana yang boleh diterima dan mana yang patut ditolak. Kesemuanya berteraskan ilmu. Justeru itu kadangkala mereka yang tidak tahu mereka lebih berani membuat kesilapan kerana disangka apa yang dibuatnya itu betul.

Memandangkan besarnya pengaruh dan kesan ilmu, benarlah kata Sayyidina Umar Ibn Abdul Aziz “mereka yang beramal tanpa berasaskan ilmu, keburukannya lebih banyak daripada kebaikan”. Malah dalam realiti pun, ramai mereka yang beramal tidak kurang ikhlas, taqwa dan bersemangatnya mereka, tetapi apa yang mereka kurang adalah ilmu.

Inilah yang dikatakan terjadi kepada golongan Khawarij yang menentang Sayyidina Ali k.w., sehingga sanggup membunuh mereka yang sesama agama. Banyak juga di kalangan pendakwah atau pengikut ajaran tasawuf yang tidak kurang keikhlasan tetapi tidak tahu apa yang dilakukannya itu bidaah.

Keutamaan Memahami Islam Yang Menyeluruh

Pada zaman ini secara khusus pembelajaran berterusan amat diperlukan kerana umat Islam mengalami krisis tidak dapat memahami metodologi yang betul dan bagaimana berinteraksi dengan metodologi yang betul itu. Bagaimana membumikan ajaran Islam ke alam realiti dalam semua sektor masyarakat daripada kebudayaan, pendidikan, seni, sastera sampailah kepada kehidupan harian.

Memang senang dengan mengatakan rujukan kita al-Quran dan al-Sunnah, tetapi dalam pelaksaaan tidaklah semudah itu. Umat Islam semacam menjadi bumi gersang yang tidak dapat memanfaatkan ajaran Islam untuk mengendalikan kehidupan kerana tidak dapat memahami Islam yang menyeluruh itu. Atau dengan kata lain, kita gagal memahami Islam secara praktikal yang dicernakan dalam bentuk program sehingga ajaran Islam terkial-kial dalam bentuk retorik dan ucapan khutbah, tetapi gagal beroperasi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kaedah nabi membawa perubahan ke atas masyarakat masih jauh daripada difahami jangkauan dan dimensinya, masih belum difahami mana yang tetap dan mana yang anjal atau fleksibelnya, fasa-fasa pelaksanaannya. Malah ketidakfahaman ini kadangkala menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.

Justeru itu, ilmu harus diteroka sepanjang masa, secara berterusan kerana masih banyak yang kita tidak faham. Isu-isu remeh pun kadangkala belum mencapai kata sepakat. Misalnya apakah rokok itu halal atau haram? Justeru ia tidak boleh diputuskan secara individu tetapi ia perlu dibincang bersama bukan sahaja para ulama tetapi juga pakar dalam berbagai-bagai disiplin.

Dari pembelajaran umum kepada pembelajaran dalam pengkhususan yang lebih terperinci, dari rujukan biasa kepada rujukan terpilih, malah memahami mana yang menjadi matlamat dan mana pula yang menjadi sekadar wasilah dan pendekatan. Harus difahami mana yang berbentuk prinsip mana pula yang berbentuk program. Justeru itu banyak perkara yang baik tetapi kerana berfikiran terlalu simple banyak perkara yang boleh menguntungkan umat Islam ditolak begitu sahaja. Akhirnya, kekurangan ilmu menyebabkan umat lebih terdedah kepada perpecahan sesama sendiri daripada menuju kepada perpaduan. Apa lagi diharap dari satu umat yang tidak pernah bersatu. Al-Quran memberikan jawapan, masyarakat itu akan lemah, hancur dan musnah.

Pendidikan Teras Pembangunan Tamadun Alternatif

Dalam merealisasikan kemunculan semula tamadun Islam masa kini dengan berbagai-bagai pendekatan termasuk pendekatan hadhari, ilmu menjadi senjata yang ampuh. Tanpa menafikan perlunya urus tadbir organisasi dan sistem, tetapi urusan membina manusia adalah harus diberikan keutamaan. Justeru Allah mengingatkan “Allah tidak akan merubah mana-mana kaum sehingga mereka sendiri merubah diri mereka”. Ia bermula dengan individu yang menjadi batu-bata binaan masyarakat.

Pendidikan menjadi teras utama dan inilah jua yang dilakukan oleh para anbiya’ dan mursalin. Mereka membina keimanan dengan akidah yang betul. Diperbetulkan pandangan hidup (world-view) mereka terhadap alam dan manusia, tentang hidup dan Tuhan. Tahu akan matlamat dan misi kehidupan. Imanlah yang akan memberi jawapan yang mencukupi untuk banyak persoalan yang timbul.

Kita harus bermula dengan jalan yang betul yang dipohon setiap hari al-sirat al-mustaqim. Pembinaan yang hakiki, bukan bentuk luaran sahaja. Membina akal dengan ilmu dan roh dengan kerohanian. Membina secara seimbang melalui ibadah, budaya, akhlak dan sebagainya. Kesemuanya itu memerlukan pembelajaran yang berterusan.

Ilmu Tentang Musuh

Kadangkala dalam keghairahan membina diri kita terlupa orang lain juga sedang merancang untuk memusnahkan kita. Di depan kita banyak golongan yang memusuhi daripada golongan tidak beragama hingga kepada orientalisme yang menyerang kita kiri dan kanan, depan dan belakang. Mereka menyerang akidah, syariah, turath dan tamadun kita. Malah musuh dalaman pun tidak kurang hebat yang berupa khurafat dan bidaah, jumud dan taqlid malah berbagai-bagai lagi.

Ini membuktikan lagi perlu kepada pembelajaran yang berterusan kerana masih banyak perkara yang belum difahami. Ada pula golongan yang keras dalam agama, bersangka buruk kepada semua orang kecuali dirinya sendiri sahaja yang benar. Mereka yang ufuk pemikiran terlalu sempit, mereka yang terlalu gopoh ingin memetik buah sebelum masak, golongan yang suka mengkafirkan orang lain oleh sebab yang kecil.

Pembelajaran yang berterusan harus memberi panduan tentang kesederhanaan Islam yang tulen yang digambar oleh al-Quran sebagai “ummatan wasatan” di mana antara cirinya:

  • Memahami agama secara syumul dan mendalam serta seimbang
  • Memahami realiti semasa tanpa memandang remeh kekuatan musuh dan tahu kekuatan diri.
  • Berfikiran saintifik hatta hukum alam dan hukum sosial
  • Memahami maqasid syari’ah dan tidak jumud dengan teks agama
  • Memahami keutamaan dalam kehidupan
  • Malah banyak unsur-unsur lain lagi

Pembelajaran berterusan diperlukan supaya aliran wasat ini memimpin secara berkesan. Aliran yang mampu menolak aliran melampau (ifrat) dan longgar agama (tafrit). Kita sebenarnya masih bermusuh sesama sendiri dengan orang Islam yang menganut fikiran asing, mengaku diri berfaham liberal barat.

Penutup

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi dan praktis para ulama lampau, ilmu perlu dicari secara berterusan bagi memperkasa diri dengan persiapan dalaman dan luaran, menjadikan diri kukuh dan utuh pengetahuan, akhlak, budaya dan sahsiah sehingga mampu menjadi mercu yang dapat dijadikan pedoman dan mampu menangkis segala helah lawan

Tanpa keilmuan bukan sahaja kita gagal untuk memimpin bangsa lain malah kita akan kalah di tanah air sendiri dan terpenjara oleh kejahilan, was-was dan permusuhan sesama sendiri, malah kecundang dalam realiti globalisasi masa kini.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP