Islam menuntut pembelajaran sepanjang hayat

>> Selasa, 2 Mac 2010

LAPORAN oleh Paul Lengrand dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dianggap sebagai perintis kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Tetapi sebenarnya konsep itu tidak asing dalam Islam.

Islam tidak bermula dengan arahan untuk menyembah Allah SWT sebagai pencipta makhluk tetapi dengan suruhan membaca. Islam merupakan agama yang teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi.

Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Selanjutnya, manusia harus terus menyusuri hidup dengan pembelajaran secara berterusan. Ia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidup tetapi hidup secara bermaruah dan bermakna.

Itulah sebabnya Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan setiap Muslim. Kewajipan mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai proses sepanjang hayat.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd al-Barr, Baginda menyatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku penambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketaqwaan.

Sebenarnya, banyak ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW yang menggesa umat Islam untuk mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang memasuki dunia pencarian ilmu, Allah SWT menjanjikan banyak pahala dan kedudukan yang baik.

Antara kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan ilmuwan ialah seperti yang dalam ayat 18 Surah Ali Imran yang menjelaskan bahawa kesaksian tentang kewujudan Allah 'Azza wa Jalla adalah (melainkan) Diri-Nya sendiri, para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan.

Imam al-Ghazali menyatakan, ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia dan utama kedudukan yang diberikan Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu.

Seharusnya kita menginsafi bahawa di akhirat nanti menanti anugerah dan ganjaran. Ilmu yang ditimba banyak memberi manfaat kepada diri sendiri. Apabila ia memberi manfaat kepada diri, ia juga merantaikan manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, tenaga dapat dimaksimumkan. Keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang cekap dalam membuat pilihan dan keputusan.

Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat terdapat empat tunjang iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa atau siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama.

Empat tunjang ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna.

Selanjutnya banyak proses pembelajaran untuk golongan dewasa berlaku secara tidak formal dan ini memang suatu realiti kehidupan manusia.

Apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang sangat radikal daripada sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan perubahan-perubahan ketara terhadap tabii kerja dan gaya hidup.

Perubahan ini menjadi cabaran kepada semua orang dan hanya melalui pembelajaran yang berterusan, cabaran dapat diatasi. Bukan itu sahaja, apabila ia boleh betah dengan keadaan yang telah berubah, ilmu yang dimiliki akan menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan kesenangan.

Antara contoh mudah ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang diperkenalkan kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut boleh memberi kesenangan kepada pekerjaan mereka.

Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja kehadiran peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi. Akan tetapi sekiranya mereka memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti produktiviti akan bertambah. Masa dapat dijimatkan dan memberi tambahan masa berkualiti untuk keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah senang.

Bagi membentuk rakyat negara ini sebagai masyarakat yang menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya, kerajaan telah meletakkan tumpuan dan keprihatinan yang tinggi menerusi Rancangan Malaysia 2006-2010. Dalam satu laporan oleh UNESCO, terdapat cadangan untuk membangunkan masyarakat yang prihatin dalam pencarian ilmu, iaitu semua agensi yang terdapat dalam masyarakat yang terlibat menjadi penyumbang kepada pendidikan dan perubahan pendidikan.

Sementara itu, semua ahli masyarakat diberi galakan untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran tanpa had masa. Namun, sebagai warga yang mendakwa telah memiliki pemikiran dan jiwa yang merdeka, kita sepatutnya tidak perlu menunggu saranan, dasar atau sebarang polisi untuk bertindak. Kesedaran itu sepatutnya telah menjadi darah daging dan ia diturunkan kepada generasi muda seawal mungkin.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP